KEPERLUAN PERUBAHAN PERANCANGAN PENDIDIKAN TERHADAP PEMBELAJARAN STANDARD BAGI PELAJAR LEMAH YANG TIDAK BERMINAT BELAJAR
ABSTRAK
Sistem pendidikan di Malaysia berorientasikan peperiksaan. Dalam jangka waktu yang tertentu, guru mesti menghabiskan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan sebelum menjelangnya peperiksaan.Segala perancangan pendidikan telah ditentukan oleh pihak sekolah dan dilaksanakan oleh guru-guru di mana menekankan prestasi pelajar khasnya dan untuk prestasi sekolah amnya. Bagi pelajar-pelajar yang ingin belajar dan mempunyai kesedaran untuk belajar dapat meralisasikan kehendak guru dan sekolah dalam mencapai keputusan yang diharapkan, tetapi bagaimana pula dengan pelajar-pelajar lemah yang tidak berminat dan hilang minat untuk belajar, sudah tentu mereka tidak dapat mencapai target sekaligus menghalang kecemerlangan nama sekolah untuk menjadi sekolah contoh dan terbaik. Adakah pelajar-pelajar yang tidak berminat belajar ini tidak diambil peduli oleh guru-guru dan pihak sekolah? Tidak benar sama sekali. Di mana-mana sekolah harian biasa pasti ada pelajar-pelajar jenis ini iaitu pelajar yang kurang kesedaran terhadap diri sendiri betapa pentingnya mengejar ilmu. Bukan bermakna guru-guru tidak berusaha untuk membantu pelajar tetapi pelajar sendiri memang telah hilang minat terhadap pelajaran, maka sistem pendidikan itu sendiri perlu diubah untuk disesuaikan kepada semua jenis pelajar sama ada dari golongan pelajar bijak, sederhana, lemah dan yang tidak berminat belajar. Seperti yang telah dinyatakan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kerajaan tidak mahu pendekatan pendidikan negara menjadi terlalu berorientasikan peperiksaan kerana ia akhirnya akan merugikan negara. Itu secara global, tetapi apabila berada di dalam bilik darjah iaitu tempat sebenar kejadian di mana berlangsungnya proses pengajaran dan pembelajaran itu sendiri, bukan sahaja pelajar tidak berminat untuk belajar malah tumpuan untuk menghadapi peperiksaan juga tiada. Walau guru yang garang sekalipun ingin mengajar pelajar-pelajar ini, tetapi pelajar ini sebenarnya tidak belajar kerana mereka tidak ingin belajar. Jadi sistem pendidikan perlu diubah. Tambahan pula apa yang dipelajari kebanyakannya tidak diguna pakai di dalam kehidupan seharian mahupun kehidupan semasa bekerja nanti. Saya memikirkan bahawa pelajar-pelajar yang tidak berminat untuk belajar ini perlu dibimbing untuk sesuatu bidang lain yang lebih kepada kemahiran yang lebih bersifat kehidupan sebenar. Berbekalkan kemahiran yang ada kemudiannya pelajar-pelajar ini dapat menguruskan kehidupan mereka ke arah yang lebih baik dan sempurna. Kerana saya sendiri merasakan apa yang dipelajari dahulu di sekolah tidak digunakan langsung di dalam kehidupan selepas persekolahan mahupun kini di alam pekerjaan. Ilmu bukan setakat sains dan matematik tetapi lebih daripada itu. Sesuatu kemahiran juga merupakan ilmu dan lebih kepada praktikal. Sistem pembelajaran sedia ada wajar dinilai dan diteliti semula supaya sesuai dengan pelbagai keperluan pelajar.
Kajian akan dilaksanakan dalam bentuk kajian kes untuk mengkaji keperluan perubahan perancangan pendidikan terhadap pembelajaran standard bagi pelajar lemah yang tidak berminat belajar. Lima buah sekolah di Daerah Hulu Langat dipilih bagi melaksanakan kajian ini. Guru-guru yang terlibat mengajar pelajar dari kelas akhir dan pelajar-pelajar dari kelas terakhir di sekolah-sekolah tersebut akan menjawab soal selidik. Dari jumlah ini dua orang guru dari setiap sekolah dari pelbagai matapelajaran akan dibuat pemerhatian pengajaran di dalam kelas untuk pemerhatian reaksi pelajar-pelajar ini ketika P&P. Data yang diperolehi hasil soal selidik dan pemerhatian akan dianalisis berasaskan elemen berkaitan dengan kurikulum, pengajaran, minat dan sikap pelajar. Cadangan dikemukakan agar suatu kajian lanjut mengenai perubahan dan pelaksanaan pembelajaran baru yang bersesuaian untuk pelajar golongan lemah yang tidak berminat belajar. Aspek ilmu dan pengetahuan berkaitan dengan kemahiran hendaklah diberi keutamaan dalam pelaksanaan tersebut agar kandungan dan inovasi dalam kurikulum tersebut dapat dipraktikkan dengan lebih berkesan dan bermakna lagi.

